Monday 3 December 2012

CINTA SEBELUM NIKAH

Islam adalah agama yang tidak bertentangan dengan fitrah manusia. Perasaan kasih sayang, benci, dendam, rindu, malu, takut, sedih dan gembira itulah yang disebut kekuatan syahwat yang sememangnya dibekalkan oleh Allah SWT kepada makhluk-Nya.

tiga syarat utama mesti dimiliki oleh manusia yang inginkan kebahagiaan;
~ Pertama kekuatan ilmu, kemudian
~ kekuatan syahwat dan yang terakhir
~ kekuatan marah.

Syahwat dan marah mesti berlutut di bawah ilmu sehingga tidak terjadi pemujaan syahwat dan kebuasan binatang pada diri kita.

Sikap manusia yang beriman ketika merasai kehadiran cinta sepatutnya menyandarkan perasaan itu pada penilaian mana yang halal dan mana yang haram. Sikap menolak terus hubungan cinta antara lelaki dan wanita adalah terlalu kejam terhadap gerak naluri yang ada pada diri.

Bukankah Rasulullah SAW mencela pemuda-pemuda yang berikrar untuk tidak mahu berkahwin kerana hendak membersihkan diri? Pada akhir hadis tersebut Rasulullah SAW mengingatkan mereka: “Sesiapa yang membenci Sunnahku bukan dari golonganku.”

Islam menghalalkan perhubungan cinta yang dibatasi dengan adab-adabnya, sehinggakan Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengarang kitab yang membahaskan tentang cinta dan kerinduan iaitu :

Raudhah al-Muhibbiin wa Nuzhah al-Musytaqiin (Taman Orang Yang Bercinta dan Dataran Orang Yang Berkasih). Ia mengupas secara tuntas apa yang dihalalkan dan diharamkan bagi mereka yang bercinta.

Ada beberapa panduan menikmati cinta dengan cara halal bagi mereka yang berkasih sebelum memasuki bahtera pernikahan.

( 1 )... Menjaga Pandangan.

Pandangan yang tidak disengajakan boleh membawa isyarat syahwat yang halus dan tersembunyi.

Mata merupakan organ seks yang paling awal berfungsi. Kerana dari pandangan akan berputik syahwat menurut kadar rangsangan kenikmatannya yang tersendiri.

Benarlah firman Allah SWT yang memberi panduan bagi lelaki dan wanita yang terpaksa berkomunikasi dalam urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (Surah al-Nur: Ayat 30-31)

( 2 )... Jangan Berdua-duaan

Pintu masuk syaitan hendaklah ditutup rapat sebelum mata sama memandang, hati berpautan, gerak tubuh meminta perhatian, tangan berpegangan, suasana yang sunyi akhirnya menghantar angin nafsu syahwat yang mematikan iman.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Mata itu berzina, zinanya adalah memandang, lidah itu berzina, zinanya adalah perkataan, kaki itu berzina, zinanya adalah langkahnya, tangan itu berzina, zinanya adalah memegang, hati berkehendak dan berkhayal sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasaie dan Abu Daud)

( 3 )...Cinta Kerana Allah

Jika ditakdirkan kita bertemu dengan kekasih hati sebelum gerbang perkahwinan dimasuki, alangkah bertuahnya jika fasa berkenalan disulam dengan benang-benang iman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tiga perkara jika ada pada seseorang ia akan merasakan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai dari selainnya, ia tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah dan ia enggan kembali kepada kekufuran sepertimana ia benci dilemparkan ke neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Turmizi, al-Nasaie)

Kekuatan cinta sejati ada pada akhlak suci yang disemai bersama iman yang membara di hati.
Namun begitu obat yang paling mujarab bagi yang sakit kerana bercinta adalah pernikahan yang menghalalkan segala bentuk hubungan syahwat. Jika tidak mampu maka berpuasalah.

“Cinta ialah iradah Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi.”

Semoga bermanfaat.... 


Sumber
http://www.puspitakirana.com/2011/12/cinta-sebelum-pernikahan-halal-atau.html



No comments:

Post a Comment