Friday 10 February 2012

Hati Mencari Hati...


"Yakin saya, Puan ini tetap muda kerana air wuduk yang tidak pernah sempat batal," kata saya cuba memancing rahsia.
Ibu beranak lima itu hanya tersenyum sopan, dan yakin saya lelaki yang melihat senyumannya itu, adalah lelaki yang paling bertuah di dunia.
"Tidaklah sampai air wuduk itu tidak sempat batal, dan malah kebanyakkan waktu, air wuduk saya batal," kata ibu muda itu pula.
Belum sempat saya memikir lanjut sebab air wuduknya sentiasa batal, terus ibu cantik itu menyambung, "Sekiranya ada waktu yang sempat, jangan pernah gagal bagi menyentuh suami mu. Paling tidak cuit lengannya, itu pun sudah cukup. Sentuhan-sentuhanlah yang menjadikan bahagia itu tetap hangat. Dan lebih utama, suami yang baik, juga pasti mengerti aturan itu."
Ibu cantik itu kemudiannya tersenyum-senyum malu. Mungkin kerana sudah berasa terlanjur menceritakan tips paling rahsia berkenaan kebahagian rumahtangganya. Saya pula, daripada memikirkan berkenaan ibu cantik itu, terus saya terbayangkan lelaki bertuah yang menjadi pasangannya.
"Bertuahnya lelaki itu," kata saya, spontan.
"Sebenarnya, sayalah yang bertuah," jawab ibu cantik itu pula.
Waktu itulah, saya berasa hairan. Mengapa pula ibu cantik itu yang berasa dirinya bertuah? Sedangkan, untuk saya ibu cantik itu, yang sebenarnya mendatangkan tuah lalu saya bertanya, "Lelaki yang bagaimana membuatkan Puan pula yang menjadi bertuah?"
Ibu cantik itu, tersenyum-senyum malu sebelum berkata, "Dia lelaki baik. Untuk perempuan, cukuplah itu yang mereka dapat dalam hidup mereka, iaitu lelaki baik, dan selepas itu, dunia seisinya sudah menjadi miliknya. Jadi, boleh kamu bayangkan betapa bertuahnya saya dengan hanya seorang lelaki saya sudah memperoleh dunia dan seisinya?"
Berdebar-debar dada saya saat mendengarkan jawapan ibu cantik itu. Sehingga begitu sekali? Lalu bertanyalah saya kepada soalan yang membuat saya menjadi rungsing.
"Bagaimana mahu mencari lelaki baik seperti itu?"
Ketika itu jugalah, ibu cantik tadi mula terlihat serius dan akhirnya berkata, "Lelaki yang baik akan sentiasa menjauhi diri kamu."
Saya diam, dan saya langsung tidak nampak di mana logiknya.
"Saya tidak faham. Adakah maksud Puan lelaki baik tidak akan suka kepada saya?" Saya juga mula ikut serius.
"Lelaki yang tidak suka kepada kamu akan menjauhi mu, dan lelaki baik yang menyukaimu, juga akan menjauhi diri mu," jelas ibu muda itu dan membuat saya semakin bingung.
"Adakah Puan ini ahli sufi?" telah saya, kerana untuk persoalan sebegitu, biasanya hanya sufi-sufi yang mampu membuatkan manusia terbingung-bingung.
Ibu cantik itu ketawa kecil dan berkata, "Saya bukanlah ahli sufi, tetapi itulah hakikatnya, dan biarlah saya terangkan sebabnya."
Saya mengatur duduk saya supaya semakin baik, saya diam dan saya sedia mendengarkan kata-kata ibu itu.
"Untuk lelaki yang tidak menyukai kamu, memang jelas dia akan menjauhi kamu atas alasan, dia tidak suka kamu. Manakala untuk lelaki biasa, yang menyukai kamu, dia akan cuba mendekati kamu, dan ini pasti kamu tahu. Cuma lelaki yang benar-benar baik, apabila dia menyukai kamu dia akan menjauhi diri dari kamu dan inilah yang saya mahu ceritakan."
Jauh
"Lelaki yang baik itu, tidak akan menyentuh kamu. Tidak akan sesekali cuba menyentuh kamu. Bukan sahaja tangan halus kamu, bukan juga 'menyentuh' mata bening kamu, tetapi yang lebih utama, dia tidak akan 'menyentuh' hati lembut kamu. Mereka tidak akan menyentuhnya selagi mana mereka tidak bersedia, dan pada ketika dia sudah bersedia, dia akan menikahi kamu dan pada saat itulah, barulah dia berani 'menyentuh' hati kamu. Lalu bagaimana mungkin lelaki baik tidak 'menyentuh' hati kamu sekiranya dia tidak menjauhkan diri daripada kamu? Sedaya upaya dia akan cuba menghindar, kerana dia tahu, pada ketika dia membuka mulutnya bagi berbicara, pada ketika itulah, bicaranya yang baik-baik akan 'menyentuh' hati kamu, dan 'mencengkam' hatinya pula. Terjadi rindu dan kamu pun tahu maknanya rindu kepada bukan mahram itu sangat halus sempadannya, antara rindu baik dan zina hati. Sangat-sangat halus, dan lelaki baik tidak mungkin mahu mengambil risiko itu."
Mendengarkan sahaja penjelasan itu, saya menelan liur. Bagaimana mungkin sehingga begitu sekali? Lalu, bagaimana nasib saya bagi berjodoh dengan lelaki yang baik sekiranya mereka menjauh dari saya?
"Lelaki baik itu, akan mendekatimu dengan niat mahu bernikah. Jadi pada ketika ada lelaki, yang berkata mahu menjadikan kamu isteri, dan pada ketika itu hati kamu terus berasa bahagia tanpa ragu-ragu, ketahuilah itulah lelaki baik, kerana kamu bahagia untuk perkara yang sudah kamu tahu. Bahagia itu bukan datangnya tanpa sedar, pasti sedikit-sedikit kamu tahu juga berkenaan lelaki baik di sekeliling kamu, dan tanpa sedar, kamu ada menaruh hati kepada dia. Lalu pada ketika lelaki yang kamu tanpa sedar suka itu, mengajak kamu nikah, kamu tidak akan ragu-ragu, malah kamu akan bahagia kerana kamu sudah tahu siapa dia," sambung ibu muda cantik itu lagi.
"Jadi, maknanya sebagai perempuan saya tidak punya peluang untuk berusaha bagi memperoleh lelaki baik, dan sekadar mengharapkan mereka tiba-tiba datang?" soal saya dengan hati yang sudah gusar.
"Siapa kata tidak perlu berusaha? Kamu taat pada perintah Tuhan, kamu patuh pada larangan, ibadat kamu tidak pernah berhenti, dan semua itu adalah usaha. Jodoh itukan misteri Tuhan, selain mati dan rezeki. Jadi, usahakan sahaja apa yang termampu, dan itulah antara usaha saya. Selain itu percayakan ibu bapa kamu sekiranya mereka mahu memberi jodoh, percayakan rakan-rakan yang kamu yakin bagus telahan hatinya kerana ibadatnya, bagi mencadangkan jodoh dan mencarikan jodoh. Selain itu berdoa dan terus patuh juga taat kepada Allah. Cuma sahaja, perlu jugalah kamu ingat, patuh dan taat kepada Allah itu, bukan atas urusan mahu jodoh yang baik, tetapi ikhlas mahu memperoleh reda-Nya. Kerana pada ketika kamu diberi jodoh yang sangat bertentangan dengan diri kamu, segeralah bandingkan diri kamu dengan Asiah yang bersuamikan Firaun, dan Nabi Noh yang beristerikan perempuan yang tidak percaya kepada Tuhan. Itulah tujuan kamu taat dan patuh kepada Tuhan, iaitu bagi mengikhlaskan ujian yang diberikan-Nya, kerana mungkin sahaja jodoh kamu dengan lelaki baik tidak di dunia ini, tetapi ditangguh sehingga ke akhirat."
Saya diam, dan saya akui saya rungsing hanya kerana memikirkan, adakah saya cukup kuat untuk semua perkara ini? Ah... lelaki baik apabila bercinta....

KISAH DARI ILUV ISLAM.....COPY PASTE...(^_^)

No comments:

Post a Comment