Monday 5 November 2012

Manja Sangat


Bertegaslah Sikit Dengan Diri Kita, Wahai Saudara !
Ya akhi, kalau anda mahu berubah, anda mahu keluar dari lubang dan longkang dosa, anda perlu mula belajar bertegas dengan diri anda sendiri.
Lakukan apa yang sepatutnya anda lakukan. Bukan apa yang anda mahu lakukan.
Kerana ramai orang yang mahu berubah, tetapi tidak memenuhi keperluan-keperluan untuk dirinya berubah dan tertingkat. Sebaliknya, dia lebih suka bergerak mengikut apa yang dia mahu.
Seringkali apa yang kita mahu tidak sama dengan apa yang kita perlu. Yang kita mahukan seringkali tertumpu pada kesenangan dan keselesaan sehingga membunuh semangat perjuangan kita untuk keluar dari lubang-lubang yang penuh kehinaan itu. Sedangkan yang kita perlukan itulah sebenarnya yang membantu membina prinsip dalam jiwa kita serta seringkali ia bertentangan dengan suasana selesa yang telah biasa kita nikmati.
Kalau benar inginkan syurga, maka bersedialah untuk korbankan rasa cinta terhadap dosa dalam jiwa. Mustahil kita mengatakan yang kita inginkan syurga tetapi dalam jiwa masih ada rasa cinta yang sangat besar terhadap dosa.
Maka, untuk meninggalkan dosa, mulai hari ini, belajarlah bertegas dengan diri anda sendiri, wahai saudara !


No comments:

Post a Comment