1. Sengaja melewat-lewatkan solat
isyak hingga melebihi 1/2 atau 1/3 malam adalah tidak digalakkan kerana
sebaik-baiknya solat dilaksanakan di awal waktu. Lagipun, sebahagian
ulamak/mazhab ada yang berpandangan; waktu solat isyak tidaklah berterusan
hingga masuk subuh, akan tetapi setakat 1/3 atau 1/2 malam sahaja. Berdasarkan
pandangan ini, sesiapa sengaja melewat-lewatkan solat isyak hingga melepasi
sepertiga malam atau separuhnya, ia berdosa kecuali kerana suatu keuzuran.
(Sila baca lebih lanjut dalam blog ini; (http://ilmudanulamak...olat-isyak.html).
2. Adapun hadis yang menceritakan
Rasulullah s.a.w. melewatkan solat isyak, maksudnya ialah melewatkannya hingga
ke sepertiga malam atau seperduanya sahaja. Ini sebagaimana sabda Nabi
s.a.w.;
"Jika tidak kerana bimbang akan memberatkan
umatku, nescaya aku akan suruh mereka supaya melewatkan solat Isyak hingga ke
sepertiga malam atau separuhnya" (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu
Hurairah r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)
3. Mengenai solat Tahajjud, ia
termasuk dalam ibadah malam. Ibadah malam atau Qiyamullail masanya bermula dari
awal malam (iaitu selepas isyak) dan berterusan hingga azan subuh. Ia boleh
dilakukan sebelum tidur atau selepasnya. Namun yang terbaik ialah melakukannya
selepas tidur terutamanya di penghujung malam kerana Rasulullah s.a.w.
bersabda;
"Solat paling baik selepas solat fardhu ialah
solat di penghujung malam. Puasa yang paling baik selepas bulan Ramadhan ialah
puasa di bulan Muharram" (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi
dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut ulamak, maksud hujung malam
dalam hadis di atas ialah sepertiga malam yang akhir. Pada saat itu, Allah SWT
turun ke langit dunia sebagaimana sabda Nabi s.a.w.;
"Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit
dunia ketika masih masih tinggal sepertiganya yang akhir. Ia berkata;
"Mana orang yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan perkenankan untuknya
doanya. Mana orang yang memohon kepadaku, maka aku akan berikan kepadanya
(permohonannya). Mana orang yang meminta ampun dariKu, maka aku akan
ampuninya" (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Solat sunat yang dilakukan selepas
tidur itulah yang dinamakan tahajjud. Firman Allah s.a.w.;
"Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat
tahajjud (sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu
mengangkatmu ke tempat yang terpuji" (al-Israq, ayat 79).
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya;
"Tahajjud ialah ibadah malam yang dilakukan
selepas tidur".
Cara terbaik untuk menghidupkan malam
ialah dengan membahagikan malam kepada enam bahagian; tidur di tiga bahagian
awalnya (yakni separuh malam), kemudian bangun bertahajjud pada dua bahagian
selepas itu dan tidur semula pada satu bahagian yang hujung, iaitu sebelum azan
subuh. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.;
"Sesungguhnya solat yang paling disukai Allah
ialah solat Nabi Daud a.s. iaitu ia tidur separuh malam (yang awal), ia bangun
solat sepertiganya dan ia tidur semula di seperenamnya. Puasa yang paling
disukai Allah ialah puasa Nabi Daud; ia berpuasa sehari dan ia berbuka
sehari". (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Amru r.a.).
Kesimpulannya,
untuk melakukan ibadah atau solat
malam (solat witir, solat sunat taubah, solat istikharah, solat tasbih, solat
sunat mutlak di malam hari, membaca al-Quran, berzikir dan sebaginya) tidaklah
disyaratkan tidur terlebih dahulu. Namun jika kita hendak mengambil fadhilat
solat malam yang paling baik dan mengikuti kebiasaan Nabi s.a.w., maka
digalakkan kita tidur terlebih dahulu dan bangun mengerjakan tahajjud selepas
pertengahan malam. Wallahu alam.
Rujukan;
1. Mugni al-Muhtaj, 1/313. 2. al-Iqna� (Imam Ibnu al-Munzir), hlm. 81. 3.
Fiqh al-Ibadaat (Syeikh Hasan al-Ayyub), hlm. 296. 4. al-Fiqh al-Wadhih, 1/261.
5. al-Mughni, Ibnu Qudamah, 2/89-90. 6. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 1256.
Untuk keterangan lanjut boleh baca di sini http://ilmudanulamak...olat-isyak.html
No comments:
Post a Comment